Tuesday, May 4, 2010

Sebahagian Ucapan di D.U.N. oleh YB Koay Teng Hai 2010

Penjagaan dan Penyelenggaraan Pokok

Saya memberi sokongan penuh kepada usaha Kerajaan Negeri yang bercita-cita untuk menanam 300,000 pokok di seluruh negeri setahun. Pulau Pinang yang dikenali sebagai "Pearl of the Orient" harus mengekalkan ciri-ciri dan keindahan pulau dari segi kehijauan di mana pokok-pokok boleh dilihat tumbuh dengan subur dan dijaga di dalam bandar George Town.

Walau bagaimanapun, pada masa usaha menanam pokok diteruskan di seluruh negeri, saya memohon Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perhutanan Negeri dan jabatan-jabatan yang berkenaan mengambil tindakan yang proaktif dalam penjagaan pokok.

Dalam beberapa bulan ini, kita telah melihat beberapa kes di mana pokok-pokok tumbang dan menimpa mangsa ataupun kena pada rumah beberapa bulan ini. Telah ada yang telah terkorban dan yang cedera parah dan kerosakan harta benda. Pokok-pokok bukan tumbang kerana ditiup angin kencang, tetapi kira cuaca ketika itu agak baik.

Oleh yang demikian, saya memohon supaya jabatan-jabatan yang bertanggungjawab harus mengadakan siasatan terperinci. Kita perlu mengetahui punca tragedi hingga ke punca akar, iaitu "rootcause". Dengan mengetahui punca akarnya, tindakan pencegahan harus dirancang dan diambil.

Yang Berhormat Dato' Speaker,

Kita perlu buang sikap dengan menganggap tragedi yang berlaku tersebut adalah kejadian yang tidak dapat diduga. Oleh itu, saya menyarankan supaya ketika lebih banyak pokok ditanam, kita harus mewujudkan pemantauan, penjagaan atau penyelenggaraan ke atas pokok-pokok dengan kaedah lebih bersistem. Jabatan-jabatan berkenaan harus memperbaiki penyeliaan dalam tugas tersebut malahan menambahkan kakitangan jika tenaga pekerja untuk tugas tersebut tidak cukup.

Perumahan
Satu daripada masalah perumahan dalam negeri ini ialah tawaran sewa rumah PPR untuk golongan miskin. Seringkali kita mendapati golongan miskin yang tidak dapat ditawarkan rumah PPR untuk disewa kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat lain. Syarat-syarat yang lazimnya menghalang mereka ialah seperti jumlah ahli keluarga dan juga status pemilikan rumah.

Untuk menyewa rumah PPR, seringkali permohonan seseorang ditolak kerana ahli keluarga tidak mencukupi 5 orang. Saya memohon syarat ini dilonggarkan kerana mereka yang miskin bukan tidak mahu mencapai matlamat 5 orang. Sudah terdesak untuk tempat tinggal, bagaimana nak beranak hingga 3 orang. Ada yang telah ditimpa kemalangan dan kehilangan ahli keluarga tersayang, ditanya pula dengan soalan sedemikian dan ditolak permohonan kerana syarat tersebut.

Adakah jumlah ahli keluarga satu indicator yang tepat untuk menunjukkan kemampuan sesebuah keluarga? Adakah ia boleh diganti dengan indicator yang lebih tepat seperti pendapatan isirumah per kapita?

Saya juga mencadangkan supaya syarat pemilikan rumah juga dikaji semula. Adanya kes-kes yang pernah memiliki rumah tetapi ada keluarga yang kehilangan sumber pendapatan. Rumah terpaksa dijual malahan dilelong. Mereka ini ditolak terus daripada senarai kelayakan untuk menyewa rumah PPR mahupun membeli rumah kos rendah. Perkara ini perlu mendapat perhatian Bahagian Perumahan dan diteliti serius.

Pengangkutan Awam
Bukan isu baru masalah letak kereta di kawasan perumahan terutama bangunan bertingkat. Masalah petak letak kereta yang terlalu terhad, mahal, menyebabkan kesesakan jalanraya malahan saman polis sering menghantui penghuni ataupun kita yang menjadi ahli-ahli Dewan ini.

Kita telah pun memasuki era "Hijau" yang tidak pernah dialami dahulunya. Dengan adanya Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengutamakan alam sekitar dan generasi akan datang, dasar-dasar "No Plastic Bags Day" dan "No Polystyrene" telah diadakan. Warga Pulau Pinang akan menjadi Warga Hijau yang pertama di negara ini di bawah Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian, saya juga menyarankan supaya Dasar Pengangkutan Awam perlu juga diadakan untuk Negeri Pulau Pinang. Mungkin kita belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem monorel di dalam negeri ini. Namun begitu, kita harus membiasakan rakyat Pulau Pinang dengan menggunakan bas awam. Kita mahu Warga Pulau Pinang membebaskan diri daripada bergantung kepada kereta persendirian ke mana-mana. Dengan itu barulah kita dapat membebaskan rakyat di negeri ini daripada masalah tempat letak kereta dan kesesakan jalanraya.

Untuk mencapai matlamat ini, negeri kita perlu menghubungkan kawasan kediaman dengan kawasan lain, terutama sekalinya tempat pekerjaan seperti kawasan perindustrian dan kawasan perbankan dan perkhidmatan lain dengan perkhidmatan bas yang baik. Sehingga hari ini, kawasan-kawasan ini masih tidak dihubungi dengan sistem pengangkutan awam yang memudahkan rakyat. Oleh sebab itu, saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri ini mempertingkatkan usaha Hijau dengan memasukkan pengangkutan awam ini.

No comments:

Post a Comment

Followers