Wednesday, August 5, 2009

Surat kepada Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dari Sdr Lai Hon Meng, S/U Politik kepada Ahli Parlimen Tanjong.
-------------------------------------
Pejabat Ahli Parlimen Tanjong
Partai Tindakan Demokratik (DAP)
14 Jalan Talipon
10400 Pulau Pinang
Tel: 2288482
Fax: 2288514

30 Mac 2000

Ketua Polis Negeri
YDH Datuk Arthur Edmonds
(via fax: 2627008)

Tuan,

Perhimpunan "Homeless Nite" 31 Mac 2000

Saya dengan segala hormat merujuk kenyataan Tuan yang dibuat semasa lawatan ke sebuah hospital pada jam 10 pagi, 29 Mac 2000 melalui sumber media cetak berbahasa Cina.

Saya amat menyesali reaksi Tuan dan PDRM terhadap azam penghuni-penghuni yang ingin berkumpul secara aman pada malam 31 Mac.

Saya menyeru Tuan supaya menyedari dan mengakui bahawa perhimpunan ini adalah diadakan secara aman, dan sebenarnya ia boleh memberi mesej secara langsung dan terus terang kepada pihak kerajaan supaya boleh menarik perhatian kerajaan untuk mencari penyelesaian dengan segera.

Saya juga ingin menarik tumpuan Tuan kepada hakikat bahawa sehingga kini tiada sebarang penyelesaian malahan tidak ada saluran yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah, terutamanya Ketua Menteri sendiri dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan belum mengadakan sebarang perjumpaan dengan penghuni-penghuni berkenaan sehingga hari ini.

Seperti kenyataan Tuan sendiri yang menyeru agar masalah diselesaikan secara damai, saya rasa melalui perhimpunan tersebut adalah cara tunggalnya. Sekiranya bukan aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh SOS, kerajaan langsung tidak tahu tentang kerumitan masalah. Ini boleh dilihat apabila Akta Kawalan Sewa dimansuhkan tanpa sebarang penyelesaian proaktif dan positif.

Malahan saya dapat mengatakan bahawa tidak pernah wujud keadaan tegang dalam semua aktiviti SOS. Hanya ada pihak-pihak tertentu yang salah faham dan memandang SOS secara negatif.

Saya difahamkan bahawa SOS telah membuat permohonan untuk permit daripada pihak Tuan. Mereka tidak diberi permit tersebut disebabkan pihak tuan memerlukan tempoh 3 minggu untuk membuat keputusan, akan tetapi mereka diberi janji secara lisan bahawa mereka boleh mengadakan perhimpunan di dalam rumah.

Saya dengan sebab ini memohon pertimbangan Tuan supaya membenarkan mereka berkumpul pada 31 Mac, memandangkan masa telah suntuk apabila ramai yang akan dipaksa pindah dan dituduh ke mahkamah. Saya juga meminta Tuan supaya tidak menghadkan aktiviti tersebut di kawasan rumah sahaja.

Saya menegaskan sekali lagi untuk peringatan Tuan bahawa sekiranya bukan wujudnya SOS, kerajaan tidak akan sedar tentang kerumitan masalah ini. Kalau tidak ada SOS, rakyat telah hidup merempat sejak tarikh pemansuhan Akta Kawalan Sewa pada 1 Jan 2000.

Saya juga merujuk laporan sebuah akhbar Cina hari ini bahawa KM akan mengadakan satu taklimat pada 1 April 2000 untuk mengumumkan penyelesaian dan perkembangan terkini.
Tetapi saya berpendapat bahawa sekiranya KM ikhlas, taklimat tersebut patut dibuat lebih awal sebelum malam 31 Mac. Saya juga hairan kenapa KM memilih tarikh tersebut yang sebenarnya merupakan hari cuti untuk kakitangan awam.

Saya rasa perhimpunan ini boleh mempercepatkan proses penyelesaian daripada berpanjangan, yang akhirnya akan meletihkan rakyat malahan pihak polis.

Saya akan menyesali tindakan polis sekiranya pihak Tuan tidak mengizinkan mereka berkumpul. Saya berpendapat pihak polis seharusnya membela perjuangan mereka selaras semangat demokrasi yang memang dipertahankan di bawah Perlembagaan Malaysia, dan saya meminta pihak polis berilah sebarang kemudahan kepada mereka termasuk memastikan perhimpunan mereka lancar tanpa diganggu dan mengawal keadaan lalulintas.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


Lai Hon Meng
S/u Politik kepada
YB Chow Kon Yeow (Ahli Parlimen Tanjong)

s.k. Georgetown OCPD Senior Asst Comm (II) Mustafa Abdullah
(via fax 2623845)
– untuk perhatian dan tindakan yang sama

No comments:

Post a Comment

Followers