Thursday, December 23, 2010

Selayang Pandang Sejarah Seberang Perai

1. Seberang Perai mulanya dikenali sebagai "Province Wellesley", terletak di Tanah Besar Semenanjung Malaysia, telah diserahkan kepada United Kingdom oleh Sultan Kedah pada masa itu (Sultan Muhammad Jiwa) selepas kekalahan Angkatan Perang Kedah di dalam peperangan untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada British pada tahun 1798. Persempadannya dengan Kedah telah dipersetujui oleh British melalui Perjanjian yang ditandatangani antara British dengan Siam kerana pada ketika itu Kedah adalah dibawah naungan Siam. Pada ketika itu, kawasan ini ditadbir oleh Pegawai Daerah dan dibantu oleh beberapa orang pegawai lain sebagai Penasihat British di Pulau Pinang.

2. Pada masa kini, sempadan bagi negeri - negeri Pulau Pinang dan Kedah adalah tertakluk kepada Akta Kedah dan Pulau Pinang 1984.

3. Bermula dengan penubuhan Negeri-Negeri Selat melalui Perjanjian Inggeris - Belanda pada tahun 1824 yang menyebabkan Kepulauan Melayu terbahagi kepada Kawasan Jajahan British di Bahagian Utara dan Kawasan Jajahan Belanda di bahagian Selatan. Pusat Pentadbiran Negeri - Negeri Selat telah dipindahkan dari Pulau Pinang ke Singapura pada tahun 1832.

4. Pada tahun 1867, Negeri - Negeri Selat telah dijadikan sebagai Koloni Mahkota British. Pada 4 Februari, "Letters Patent" telah diberikan kepada penempatan sebagai Perlembagaan Koloni. Bagi memberi kuasa yang lebih kepada Gabenor Negeri - Negeri Selat yang mentadbir Koloni Negeri - Negeri Selat, sebuah badan telah ditubuhkan bagi membantu Gabenor iaitu Majlis Eksekutif Negeri - Negeri Selat yang mengandungi keseluruhan Ahli - Ahli Majlis Rasmi (ex officio), dan sebuah Badan Perundangan yang mengandungi ahli - ahli rasmi dan ahli - ahli yang dipilih. Jentera Pentadbiran bagi Koloni Negeri - Negeri Selat telah dilaksanakan oleh Perkhidmatan Awam yang anggotanya telah dilatih dan melalui peperiksaan atau ujian yang kompetetif di London. Pulau Pinang dan Melaka ditadbir secara langsung oleh Gabenor dan Konsulat Residen di Singapura.

5. Pengaliran masuk imigran Cina dan India ke Tanah Melayu oleh British melalui Negeri Selat telah menyebabkan pertumbuhan koloni dan pekan-pekan baru oleh imigran-imigran ini selepas Perjanjian Ingeris-Belanda 1824. Peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh kapitalis-kapitalis Barat pada ketika itu telah menyebabkan peranan Pejabat Kebersihan Tempatan menjadi penting. Ianya bermula dengan sebuah unit kecil yang dikenali sebagai Pejabat Kebersihan Tempatan pada tahun 1890an yang berperanan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah sarap dan sisa kumbahan.

6. Selepas Perang Dunia Kedua, Koloni-koloni British menyedari tentang pentingnya keperluan untuk menyediakan sebuah jentera pentadbiran yang teratur dalam mengurus hal-ehwal tempatan. Revolusi industri di awal abad ke-19, bukan sahaja pencetus kepada perebutan bahan mentah oleh kuasa besar malahan kesedaran tentang penjagaan kebersihan dan perihal kesihatan kepada masyarakat. Berikutan itu Pejabat Kebersihan Tempatan dan peranannya telah diperkemaskan dengan penubuhan Majlis Bandaran Butterworth dan Bukit Mertajam serta Majlis Luar Bandar atau Majlis Tempatan untuk mengurus dan mentadbir kawasan luar bandar di Seberang Perai pada tahun 1913.

7. Selepas Malaya merdeka pada 1957, sistem pentadbiran telah diperkemaskan. Akta dan Undang-Undang kecil telah diperkenalkan untuk memberi kuasa kepada Majlis Tempatan memungut cukai pintu dan lesen perniagaan sebagai sumber pendapatan. Semua Majlis Tempatan ditadbir oleh wakil yang dilantik melalui Pilihanraya Majlis Tempatan.

8. Pada tahun 1971 kerajaan pusat telah memutuskan untuk mengambilalih pentadbiran Majlis Tempatan melalui penubuhan Kementerian Kerajaan Tempatan mempunyai kuasa mutlak yang tersendiri tanpa kaitan dan bebas telah diberi kepada pentadbirnya untuk mengurus segala hal tempatan. Pada 1 Jun 1974 Akta Kerajaan Tempatan telah diperkenalkan dan menyebabkan semua Majlis Tempatan disatukan menjadi Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan. Pada 15 Disember 1974 Akta Kerajaan Tempatan telah dipinda untuk memantapkan lagi pentadbiran kerajaan tempatan, Berikutan itu, Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan dinaiktaraf menjadi Majlis Perbandaran Seberang Perai yang dikenali hingga sekarang.

Sumber : Laporang Tahunan 2009, Majlis Perbandaran Seberang Perai

No comments:

Post a Comment

Followers